fb fb fb fb fb

Semua tahanan dilayan dengan baik - Imigresen P.Pinang

Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Nur Zulfa Ibrahim

BUTTERWORTH, 6 Mac- Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang menolak dakwaan berlakunya penganiayaan terhadap tahanan di Depot Tahanan Juru.

Pengarah Imigresen negeri, Nur Zulfa Ibrahim berkata semua tahanan dilayan dengan baik malah pemantauan secara berkala dilakukan oleh badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).

“Di depot (tahanan) Juru kalau nak kata tak dilayan, makanan kita berikan sebanyak tiga ke empat kali…memang memenuhi waktu.

“Saya pun ada turun ke sana untuk lihat sendiri keadaan di sana dan berdasarkan pemerhatian semuanya adalah dalam keadaan terkawal.

“Tak ada pula berlaku penyeksaan mahu pun penderaan (terhadap tahanan). Jika ada, saya kena ambil tindakan tatatertib sebab mereka perlu dijaga dengan baik mengikut hak asasi manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi ramah mesra bersama pengamal media di Jabatan Imigresen Pulau Pinang Seberang Jaya, di sini.

Beberapa media hari ini melaporkan NGO antarabangsa, Human Rights Watch (HRW) mendakwa tahanan di pusat tahanan imigresen di sebuah negeri di utara diberikan layanan buruk, sekali gus mencabul hak asasi manusia.

NGO itu mendakwa tahanan menderita akibat keadaan hidup yang teruk, kurangnya penjagaan perubatan, dan menjadi mangsa penyeksaan dan penganiayaan fizikal berpanjangan, yang didakwa mengakibatkan ‘banyak’ kematian.

Nur Zulfa berkata di depot Juru tahanan berusia 12 tahun ke bawah tidak dipisahkan daripada ibunya.

“Tahanan berusia 13 hingga 18 tahun pula tidak ditempatkan bersama tahanan dewasa bagi menjamin keselamatan mereka daripada sebarang gangguan,” katanya.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI