fb fb fb fb fb

Semua kementerian, pihak berkepentingan bergerak seiring elak kelewatan projek

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 7 Jun- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua kementerian, agensi dan pihak-pihak berkepentingan bergerak seiring, terancang dan bersepadu bagi memastikan pencapaian dan keberhasilan perancangan serta pelaksanaan projek pembangunan negara mampu dicapai.

Ia sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.

Beliau menerusi satu hantaran di Facebook berkata, pelaksanaan, pemantauan projek serta program pembangunan kerajaan perlu berjalan lancar berdasarkan perancangan secara bersepadu.

"Saya telah menekankan beberapa perkara yang terkait dengan kelewatan pelaksanaan projek dan perlu diatasi dengan berhemah melalui perubahan proses kerja dan penggunaan teknologi-teknologi baru.

"Pada tahun ini, saya mengharapkan agar perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek serta program Pembangunan Kerajaan berjalan lancar berdasarkan perancangan secara bersepadu," katanya yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negara (MTPN) Bilangan 1 Tahun 2024 serta memutuskan strategi pelaksanaan dan hala tuju pelaksanaan pembangunan negara.

Pada masa sama, beliau juga bersetuju supaya penggunaan Building Information Modelling (BIM) diperluaskan kepada projek-projek kerajaan dan swasta.

Dalam perkembangan lain, Anwar turut berpuas hati dengan pencapaian prestasi pembasmian kemiskinan yang menunjukkan penurunan yang drastik.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI