
PUTRAJAYA, 20 Januari – Bahasa Melayu dan Sejarah diwajibkan dalam semua sistem pendidikan negara mengikut kurikulum Kementerian Pendidikan, termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama rakyat, maahad tahfiz serta sekolah aliran Cina atau Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
- Bahasa Melayu dan Sejarah diwajibkan dalam semua sistem pendidikan termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama rakyat, maahad tahfiz dan UEC.
- Kurikulum Bahasa Melayu perlu diperkasakan melalui pembakuan dan penyeragaman standard pengajaran sehingga peringkat SPM.
- Penguasaan Bahasa Inggeris ditingkatkan sebagai bahasa kedua, manakala pilihan bahasa Cina, Tamil dan Arab disediakan di sekolah kebangsaan.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara bukan sekadar perlu dikuasai, malah mesti dipertingkatkan penguasaannya sebagai bahasa lingua franca dan bahasa ilmu.
“Negara ini telah menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Penguasaannya bukan sekadar menguasai, tetapi mesti ditingkatkan sebagai bahasa pengantara dan bahasa ilmu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Menurut Perdana Menteri, kurikulum Bahasa Melayu di sekolah dan universiti perlu diperkasakan selari dengan tuntutan semasa, termasuk melalui pembakuan dan penyeragaman standard pengajaran.
“Bila kita perkenalkan pembakuan, maksudnya penyeragaman dan peningkatan mutu penguasaan bahasa,” katanya.
Beliau menegaskan semua sistem pendidikan diwajibkan menetapkan Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran teras sehingga peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tanpa pengecualian.
Tambahnya, pelajar warganegara Malaysia di sekolah antarabangsa juga diwajibkan menduduki peperiksaan Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia.
Perdana Menteri turut menegaskan sekolah agama rakyat dan maahad tahfiz yang melibatkan lebih 400,000 pelajar tertakluk kepada ketetapan sama, khususnya apabila menerima bantuan kerajaan.
“Mereka boleh kekalkan manhaj tarbiah dan kitab-kitab yang ditentukan. Kita tidak ganggu, tetapi Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia diwajibkan,” katanya.
Mengulas isu UEC, beliau berkata ketetapan mewajibkan Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia akan menamatkan kontroversi berkaitan laluan kemasukan ke pendidikan tinggi.
“Dengan kaedah ini, laluan mereka ke pendidikan tinggi tidak lagi menjadi kontroversi. Kita terima baik asalkan syarat ini diterima,” katanya.
Dalam masa sama, Perdana Menteri menegaskan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua perlu dipertingkatkan seiring pemantapan Bahasa Melayu.
Ini bagi memastikan daya saing negara di peringkat antarabangsa, khususnya dalam bidang perdagangan, transformasi digital, peralihan tenaga dan kecerdasan buatan (AI).
Selain itu, beliau menegaskan Kementerian Pendidikan diwajibkan menyediakan guru bagi bahasa pilihan seperti Bahasa Cina, Tamil dan Arab di sekolah kebangsaan.
“Pilihan Bahasa Cina, Bahasa Tamil dan Bahasa Arab mesti ada di sekolah-sekolah bagi anak-anak yang memilih untuk menguasainya,” kata Datuk Seri Anwar.
Beliau menyatakan keyakinan dasar bahasa yang diperkenalkan menerusi Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 akan menamatkan polemik bahasa yang berlarutan sejak sekian lama.