Sembilan kluster influenza dikesan di Johor

JOHOR BAHRU, 11 Oktober – Penularan influenza di Johor masih terkawal biarpun sembilan kluster jangkitan telah dikesansetakat minggu epidemiologi ke-40 tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penularan influenza di Johor masih terkawal walaupun sembilan kluster dikesan.
  • Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) terus memantau perkembangan untuk cegah penyebaran.
  • Tindakan proaktif termasuk pemantauan di sekolah dan institusi pendidikan jika peningkatan kes.
  • Sekolah diminta lapor segera kepada PKD atau JKNJ jika murid menunjukkan simptom influenza.
  • Orang awam dinasihatkan berwaspada dan amalkan kebersihan, terutama golongan berisiko tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon, berkata Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) terus memantau perkembangan semasa bagi memastikan wabak tidak merebak ke kawasan lain.

Beliau berkata, langkah lebih proaktif akan diambil sekiranya berlaku peningkatan ketara kes di negeri itu, termasuk pemantauan di sekolah dan institusi pendidikan.

“Bagi pihak sekolah atau pendidikan awal, jika murid menunjukkan simptom influenza, mereka perlu segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan.

“Sekiranya berlaku kes jangkitan, pihak sekolah diminta melapor segera kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau JKNJ supaya tindakan lanjut dapat diambil,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri masih mengekalkan prosedur pemantauan sedia ada di dua pintu sempadan utama negeri tanpa keperluan menambah kawalan ketat buat masa ini.

Beliau turut menasihatkan orang awam agar terus berwaspada dan menjaga kebersihan diri, terutama golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.