IPOH, 15 Januari- Mahkamah Majistret Ipoh membebaskan pasangan suami isteri dengan jaminan bon melibatkan kes menyeleweng kutipan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) berjumlah RM9.62 juta.
Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan membenarkan permohonan polis untuk membebaskan suspek lelaki berusia 50 tahun dan isterinya berumur 53 tahun itu dengan jaminan bon di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah sebanyak RM50,000 seorang.
Pasangan berkenaan tiba di mahkamah dengan diiringi anggota polis pada pukul 9.30 pagi.
Mereka kemudian dibebaskan kira-kira 20 minit kemudian.
Mahkamah Majistret membenarkan suspek ditahan reman tujuh hari bermula 6 Januari lepas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pecah amanah dan tempoh reman tersebut dilanjutkan pada 12 Januari untuk tiga hari lagi bagi membantu siasatan.
Pada 5 Januari lalu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan pasangan suami isteri itu yang dilantik sebagai ejen kutipan zakat MAIPk ditahan di Kuala Lumpur kira-kira pukul 12.35 tengah hari.