ALOR SETAR, 2 Disember- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, memberi amaran keras dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket penyelewengan barang-barang kawalan termasuk minyak petrol.
Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata tindakan tegas akan diambil termasuk mendakwa pihak terbabit di mahkamah bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).
Mereka juga boleh didakwa bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang membawa hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
“KPDN Kedah sentiasa komited dan akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan bagi mempergiat serta mempertingkat kawal seliaan dan operasi ke atas pengedaran barang-barang kawalan.
Ia bagi memastikan bekalan barang kawalan untuk kegunaan rakyat sentiasa mencukupi dan tidak berlaku ketirisan yang akan merugikan negara," kata Affendi dalam kenyataan, hari ini.
KPDN sentiasa memperkasa penguatkuasaan yang tegas di semua peringkat, kawasan dan lokaliti termasuk kawasan kepulauan, kawasan sempadan, kawasan perindustrian dan eksport, kawasan bandar serta di luar bandar.
Khamis lalu, polis Kedah merampas 19,000 liter minyak petrol bernilai hampir RM38,950 di dalam sebuah lori treler selepas menyerbu sebuah premis pemborong diesel dan petrol di Bedong, Gurun.
Hasil soal siasat terhadap pemandu dan kelindan, mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen berurusan dengan barang kawalan iaitu minyak petrol.
Kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.