fb fb fb fb fb

'Selepas ini, tiada lagi panggilan telefon daripada Aqif'

Ahli keluarga Allahyarham Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni (gambar kecil) salah seorang pelajar Malaysia yang terkorban dalam insiden kemalangan jalan raya di Lake Tekapo, New Zealand semalam

IPOH, 31 Mac - "Selepas ini, tiada lagi panggilan telefon daripada Aqif..."

Itu luahan datuk kepada Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni, 21,merupakan salah seorang pelajar Malaysia yang terkorban dalam insiden kemalangan jalan raya di Lake Tekapo, New Zealand semalam.

Megat Khas Husaini Megat Abdul Rahman, 85 tahun yang baru sahaja keluar daripada Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat masalah jantung berkata beliau mengetahui mengenai kejadian menimpa cucunya tengah hari semalam daripada bapa pelajar berkenaan.

Anak sulungnya itu meminta beliau datang ke rumah mereka di Meru dan memaklumkan ada 'kejutan' yang ingin disampaikan.

"Anak saya telefon suruh datang rumah dia cakap ada kejutan. Saya pun hairan kejutan apa yang dia nak bagitau.

"Bila sampai je di sana, dia terus peluk saya dan menangis cakap Aqif sudah tiada. Saya memang terkejut dan tanpa sedar saya pun menangis," katanya ketika ditemui RTM di rumahnya di Rapat Setia di sini, hari ini.

Megat Khas menyifatkan cucu keduanya itu seorang yang baik serta disenangi ramai.

"Aqif ni anak yang baik dan mengambil berat soal agama. Dia rapat dan sayang sangat adik-beradik dia. Bila berada di sana (New Zealand) pun dia kerap telefon saya dan keluarganya bertanyakan khabar. Macam tu la rapatnya saya dengan dia.

"Sampaikan kahwin nanti pun dia hendak buat kenduri di sini. Dia cakap lepas habis belajar dia nak kahwin dekat rumah atuk sebab rumah atuk besar," katanya.

Kali terakhir beliau berhubung dengan Aqif pada malam Sabtu lalu selepas menerima hantaran mesej daripada pelajar jurusan perakaunan itu.

Sementara itu, nenek Allahyarham Nor Hanita Meor Mohd Nor, 62 tahun berkata Aqif akan menjalani latihan industri di New Zealand pada November ini.

"Ikutkan dia hendak buat latihan industri di Malaysia, tapi tak dapat. Dua, tiga hari lepas dia bagitahu ayah dia dapat tawaran praktikal di sana.

"Masa cuti semester pun dia tak balik sebab Aqif buat kerja sambilan di sana," kongsinya dengan sebak.

Bapa Allahyarham, Megat Irman Megat Khas, 49 tahun, dijangka ke New Zealand malam ini dan merancang membawa pulang jenazah untuk dikebumikan di tanah air.

Allahyarharm Aqif merupakan pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Difahamkan, ketika kejadian kenderaan dinaiki Aqif bersama empat lagi rakan sedang berkonvoi dengan dua kenderaan lain sebelum terlibat kemalangan di State Highway 8 berhampiran Tasik Pukaki.

Insiden tersebut turut menyebabkan seorang lagi pelajar maut, manakala tiga lagi cedera diterbangkan ke Hospital Christchurch, South Islands.

GRACE AISYAH KEDAYAN