Selat Hormuz: Kerajaan digesa sedia pelan kontigensi – Pakar

Gambar satelit diambil pada 2 Mac lepas menunjukkan asap tebal susulan letupan di pelabuhan Abbas City, Selat Hormuz/AFP (Foto kecil: Dr Mohd Ramlan Mohd Arshad)

KUALA LUMPUR, 11 Mac- Kerajaan digesa menyediakan pelan kontigensi bagi menghadapi sebarang ketidaktentuan di Selat Hormuz — laluan strategik yang mengawal hampir 20 peratus bekalan minyak dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pastikan rantaian bekalan domestik terurus dan kos sara hidup dikawal untuk lindungi pengguna dan kestabilan ekonomi.
  • Berbincang terus dengan pengimport dan pengeluar untuk menangani isu pada peringkat pengeluaran.
  • Pertimbangkan subsidi atau pengecualian cukai bagi mengekalkan harga barangan dan kurangkan tekanan kos sara hidup.
  • Perkukuh kerjasama perdagangan serantau ASEAN untuk akses sumber alternatif, kos lebih rendah dan kurang terdedah kepada konflik global.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohd Ramlan Mohd Arshad berkata langkah itu penting untuk memastikan rantaian bekalan domestik dan kos sara hidup rakyat terus terurus dengan baik.

Jelas beliau, kerajaan boleh berbincang secara langsung dengan pihak berkepentingan termasuk pengimport dan pengeluar bagi menangani isu pada peringkat pengeluaran.

“Sekiranya perlu, subsidi atau pengecualian cukai mungkin disediakan bagi mengekalkan harga barangan… sekaligus mengurangkan tekanan kos sara hidup, sambil memastikan kestabilan ekonomi negara,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu di program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri di sini hari ini.

Dalam masa sama, Dr Mohd Ramlan turut menyarankan pengukuhan kerjasama perdagangan serantau di peringkat ASEAN sebagai langkah strategik.

“Negara-negara ASEAN mempunyai pelbagai sumber dan hasil yang boleh dimanfaatkan oleh Malaysia. Perdagangan serantau bukan sahaja kos lebih rendah, malah kurang terdedah kepada kesan langsung konflik global,” katanya.

Dr Mohd Ramlan memaklumkan Selat Hormuz yang terletak antara Teluk Parsi dan Teluk Oman adalah laluan perairan penting dunia.

Justeru, sebarang gangguan boleh menjejaskan aliran minyak mentah dan gas asli, sekali gus meningkatkan harga tenaga global.

Bagi operasi evakuasi di zon konflik Asia Barat, Dr Mohd Ramlan berkata kerajaan menguruskan proses melalui rundingan diplomatik dan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan termasuk penggunaan pengangkutan khas seperti Malaysia Airlines.

“Segala pergerakan dilaksanakan selepas mendapat persetujuan pihak berkuasa di kawasan konflik bagi mengelakkan risiko keselamatan,” jelas beliau.

Operasi evakuasi di zon konflik di Asia Barat melibatkan rakyat Malaysia dari Iran, Arab Saudi, Kuwait, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Syria, Jordan dan Qatar — dengan kumpulan pertama terdiri daripada pelajar, pengembara serta jemaah umrah tiba di tanah air hari ini.