SHAH ALAM, 28 Januari-Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui Selangorfm komited untuk menjalin kerjasama strategik dengan kerajaan negeri menerusi pelbagai program yang akan diterbitkan pada Mac nanti.
Pengarah Penyiaran Selangor, Zulkefli Mohd, berkata program seperti Helo YB, Bandaraya Kita, dan PBT dan Anda akan menjadi platform untuk memberi penjelasan kepada rakyat mengenai isu-isu semasa, dasar, serta pembangunan di seluruh negeri itu.
"Program-program ini bertujuan memastikan rakyat lebih memahami usaha kerajaan dalam memberikan perkhidmatan terbaik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan kunjungan hormat terhadap Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari di sini.
Selangorfm juga bergerak seiring dengan kerajaan negeri dalam membantu mempromosikan Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025 bagi mencapai sasaran lapan juta pelancong.