fb fb fb fb fb

Selangor umum tambahan setengah bulan gaji kepada penjawat awam negeri

Datuk Seri Amirudin Shari

SHAH ALAM, 19 Mac- Selangor mengumumkan pemberian tambahan setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 susulan prestasi semasa kewangan negeri yang memberangsangkan sekali gus menjadikan keseluruhan bantuan kewangan sempena Hari Raya Aidilfitri kepada penjawat awam negeri itu berjumlah sebulan setengah gaji.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pemberian itu bakal dinikmati lebih 18,000 penjawat awam negeri itu melibatkan peruntukan sebanyak RM38.75 juta.

"Berdasarkan prestasi semasa agak memberangsangkan, kutipan hasil kita yang saya sebut tadi sampai akhir Februari adalah lebih RM650 juta dan setakat hari ini hampir RM700 juta.

"Maknanya kita berada di laluan betul dan sebab itu saya mengumumkan insentif kepada penjawat awam di Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Mahabbah Ramadan Madani di sini.

Pemberian bantuan itu akan disalurkan secara berperingkat bermula 25 Mac ini bagi sebulan gaji manakala setengah gaji lagi bermula 15 April.

Peruntukan tersebut juga merangkumi pemberian RM250 kepada 50,000 penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di negeri itu dengan pendapatan RM3,000 ke bawah.

Insentif berkenaan turut diberikan kepada pemimpin masyarakat, pegawai perhubungan kampung, ketua komuniti India, Penyelia Wanita Berdaya dan Penggerak Belia Selangor sebanyak setengah bulan elaun atau minimum RM500.

Sementara itu petugas masjid seperti nazir, imam, siak dan bilal pula akan menerima RM500 disumbang melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI