fb fb fb fb fb

Selangor timbang penambahbaikan SOP konsert untuk elak insiden dadah

EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim / Foto RTM

KUALA LANGAT, 6 Januari – Kerajaan Negeri Selangor akan membincangkan langkah penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) bagi penganjuran konsert di negeri itu, dalam usaha mengelakkan insiden pengambilan atau kematian akibat dadah.

EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata antara syor yang dicadangkan adalah pelaksanaan saringan ujian air kencing terhadap pengunjung konsert dan penggunaan mesin pengimbas bagi mengesan bahan terlarang sebelum dibawa masuk.

“Kemungkinan ujian air kencing boleh dilakukan sebagai langkah pencegahan supaya individu yang menagih dadah tidak mengganggu dan menyusup masuk. Kita akan membincangkan perkara ini dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 8 Januari nanti.

“Jika perlu, kita juga akan mengadakan mesyuarat bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis untuk menilai semula kelemahan sedia ada serta menambah baik SOP yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas bengkel sesi libat urus penyelarasan dan penyeragaman amalan terbaik PBT di Pulau Carey, di sini.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa garis panduan baharu untuk penganjuran konsert di Selangor akan dibincangkan oleh EXCO Belia dan Sukan Selangor, Mohd. Najwan Halimi bersama Datuk Ng Suee Lim.

Langkah itu diambil susulan kejadian yang meragut empat nyawa, termasuk dua wanita berusia antara 20 hingga 40-an, disyaki akibat pengambilan ekstasi selepas menghadiri konsert Pinkfish di Bandar Sunway, Petaling Jaya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN