
SHAH ALAM, 13 Mac – Kerajaan Negeri Selangor mengambil langkah proaktif bagi menangani isu kehamilan luar nikah serta status anak tidak sah taraf melalui pendekatan dialog dan penambahbaikan dasar.
- RTD Siri 1 oleh Wanita Berdaya Selangor memberi fokus kepada kehamilan luar nikah dan status anak tidak sah taraf.
- Perbincangan meneliti penambahbaikan prosedur, tatacara dan garis panduan Mahkamah Syariah untuk menangani isu berkenaan.
- Fokus turut pada penentuan nasab, dokumentasi rasmi serta akses pendidikan dan kesihatan untuk wanita dan kanak-kanak.
- Perbincangan melibatkan kira-kira 30 wakil agensi kerajaan, badan akademik, NGO dan komuniti sebagai usaha menyeluruh.
Usaha tersebut dilaksanakan menerusi penganjuran Perbincangan Meja Bulat (RTD) Siri 1 oleh Wanita Berdaya Selangor (WBS) yang memberi fokus kepada isu kehamilan luar nikah dan status anak tidak sah taraf.
Perbincangan itu bertujuan meneliti serta menambah baik prosedur, tatacara dan garis panduan Mahkamah Syariah dalam menangani isu berkenaan dengan lebih berkesan di negeri ini.
RTD berkenaan turut menjadi platform strategik bagi mengenal pasti cabaran dalam pelaksanaan undang-undang sedia ada, selain meneliti ruang penambahbaikan berkaitan prosedur dan garis panduan Mahkamah Syariah.
Tumpuan juga diberikan kepada aspek penentuan nasab, dokumentasi rasmi serta akses kepada hak asas seperti pendidikan dan kesihatan yang melibatkan wanita dan kanak-kanak.
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata isu tersebut perlu ditangani secara menyeluruh kerana melibatkan kepentingan negara serta kesejahteraan masyarakat.
Menurut beliau, perbincangan seperti itu bukan perkara baharu namun kini dilaksanakan dengan skala yang lebih menyeluruh oleh kerajaan negeri.
“Ini isu negara dan walaupun di Selangor kesnya tinggi kerana populasi yang pelbagai, saya gembira kerana perbincangan meja bulat seperti ini sebenarnya telah dimulakan sejak 10 hingga 11 tahun lalu.
“Kini kita melihat penambahbaikan dari segi skala pelaksanaan oleh kerajaan negeri terutama melibatkan enakmen, penguatkuasaan serta penyelesaian berkaitan pendidikan kanak-kanak,” katanya.
Perbincangan tersebut menghimpunkan kira-kira 30 peserta yang terdiri daripada wakil agensi kerajaan negeri dan Persekutuan termasuk Jabatan Mufti Selangor, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), pihak berkuasa tempatan, ahli akademik, badan pemikir, pertubuhan bukan kerajaan serta wakil komuniti.
Sesi itu dipengerusikan oleh Anfaal Saari dan turut dihadiri EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah yang berkongsi pandangan berkaitan aspek dasar serta pelaksanaan.
Usaha berkenaan selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri Selangor dalam memperkukuh perlindungan kanak-kanak serta memperkasa kesejahteraan wanita dalam masyarakat.