SHAH ALAM, 24 Februari- Lebih RM15 juta dibelanja untuk menyediakan kemudahan bas awam percuma kepada penduduk di 12 laluan di seluruh kawasan daerah Shah Alam bagi tempoh setahun.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata kini Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membelanjakan sebanyak RM5.5 juta lagi untuk membeli empat buah bas elektrik bagi laluan SA01 iaitu dari Seksyen 19 ke Seksyen 7.
Katanya, ia merupakan laluan pertama menggunakan bas elektrik berikutan terdapat permintaan tinggi bagi perkhidmatan kenderaan awam bagi laluan tersebut.
"Kita sedang dalam penilaian semula, beberapa pertimbangan untuk menambah laluan-laluan tersebut sebab kalau kita dapat jumlah yang baik antaranya adalah daripada kawasan-kawasan di sekitar lembah Selangor atau di Lembah Klang Raya ini.
Klang, Shah Alam, Petaling dan Subang, sudah pasti ia juga dapat mungkin menurunkan sedikit kos yang perlu ditanggung untuk menggunakan perkhidmatan bas elektrik.
Setakat ini, satu hari daripada pertimbangan dan perkiraan yang mereka lakukan sehari, penggunaan empat bas ini telah mampu mengurangkan penggunaan lebih kurang 700 kilogram (kg) karbon dioksida. Ini berbanding dengan menggunakan kenderaan diesel. Maka, kalau kita dapat tambah lagi dia akan dapat memberi kesan yang baik kepada alam sekitar," kata Datuk Seri Amirudin kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Penggunaan Bas Elektrik bagi Program Bas Smart Selangor, di Hentian Akhir Bandar, Seksyen 19, di sini.