fb fb fb fb fb

Selangor negeri kelapan terima pakai Akta 672

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming

PUTRAJAYA, 15 Mei - Kerajaan Negeri Selangor menjadi negeri kelapan menggunakan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) selepas bersetuju menerima pakai akta itu, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Akta tersebut telahpun digunakan negeri Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perlis dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Kami telah menerima surat persetujuan daripada kerajaan Selangor. Saya telah arahkan Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (Dr Mohd Azhar Abd Hamid) untuk membuat penilaian wajar dan pemeriksaan bersama.

"Ini untuk pastikan jumlah aset dan dasar apakah yang boleh kita lakukan untuk meningkatkan kualiti pembersihan awam di Selangor," kata Nga.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis prapelancaran Hari Landskap Negara 2024 (HLN 2024), di sini.

Nga turut menzahirkan penghargaan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan untuk Selangor mengguna pakai akta berkenaan.

Dalam pada itu beliau berkata Pulau Pinang yang bersetuju secara dasar terhadap akta berkenaan dijangka akan menjadi negeri seterusnya menerima pakai Akta 672.

Akta itu untuk memastikan keseragaman undang-undang dalam pengawalan dan pengawalseliaan perkara berhubungan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dalam usaha memastikan pengurusan sisa pepejal yang lebih cekap, mampan, efektif serta merancakkan ekonomi kitaran.

TETITIA YUSOFF