Selangor henti lesen penternakan babi, tutup ladang sedia ada secara berperingkat

Petikan Kenyataan Media/RTM

SHAH ALAM, 12 Februari Kerajaan Negeri Selangor memutuskan untuk tidak lagi meneruskan pemberian lesen penternakan babi di semua daerah di negeri ini, selaras dengan titah terbaharu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan Negeri Selangor menghentikan pemberian lesen penternakan babi di semua daerah selaras titah Sultan.
  • Ladang sedia ada akan ditutup secara berperingkat dengan kerjasama Jabatan Veterinar Negeri.
  • Keperluan daging babi tempatan akan diimport sepenuhnya, dengan kelulusan lesen import dirujuk kepada Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang baru-baru ini bagi meneliti isu berimpak kepada rakyat.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri menjunjung kasih titah Baginda yang menzahirkan tidak memperkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.

“Sejak bulan Januari, Kerajaan Negeri telah memberhentikan pengeluaran lesen penternakan babi dan memfokuskan kepada pengosongan tapak ladang sedia ada di Tanjong Sepat, menjiwai titah DYMM Tuanku Sultan Selangor yang dizahirkan bulan lalu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Amirudin berkata melangkah ke hadapan, Kerajaan Negeri tidak akan meneruskan pemberian lesen baharu kepada mana-mana pihak di Selangor.

Bagi ladang yang telah beroperasi sebelum ini, kawasan berkenaan akan ditutup dengan kadar lebih pantas secara berperingkat dengan kerjasama Jabatan Veterinar Negeri Selangor.

Beliau berkata, ketika ini kira-kira 70 peratus keperluan daging babi bagi masyarakat bukan Islam di Selangor diperoleh melalui import dari negeri lain.

“Selepas keputusan MMKN ini, keseluruhan keperluan tempatan akan diimport sepenuhnya oleh industri terbabit,” katanya.

Bagaimanapun, sebarang pengeluaran dan kelulusan lesen import akan dirujuk kepada Kerajaan Persekutuan selaras dengan bidang kuasa pemberian lesen.

Menurut Amirudin, keputusan itu diambil bagi menjaga sensitiviti masyarakat yang khuatir terhadap impak ladang penternakan terhadap alam sekitar termasuk saliran air dan pencemaran bau.

Sehubungan itu, beliau menegaskan sebarang polemik berkaitan isu berkenaan perlu dihentikan dan tidak dipanjangkan oleh mana-mana pihak yang mungkin bertujuan menggugat keharmonian serta menimbulkan syak wasangka dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di Selangor.