fb fb fb fb fb

Selangor bakal wujudkan laluan 120 km rentas Central Forest Spine (CFS)

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari

SHAH ALAM, 28 November- Kerajaan Selangor bercadang untuk mewujudkan laluan sepanjang 120 kilometer merentasi Central Forest Spine (CFS) dari Hulu Selangor hingga ke Hulu Langat.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata ia merupakan sebahagian daripada perancangan untuk menjadikan 26 kawasan hutan simpan kekal (HSK) yang diisytihar sebagai Hutan Warisan Diraja Selangor (HWDS) sebagai antara tarikan pelancong terutama penggemar aktiviti lasak seperti mendaki serta merentas hutan.

Bagaimanapun, beliau berkata kemasukan orang awam ke kawasan hutan yang digazetkan sebagai HWDS akan dikawal bagi memastikan kualiti dan biodeversitinya terpelihara.

"Yang menariknya jajaran 'trail' yang telah  di susun atur sejauh 120 kilometer itu kalau betul dapat dibuat dan ia akan menjadi salah satu tarikan perlancongan terutamaya mereka yang sangat rapat dengan perlancongan alam sekitar, aktiviti 'tracking', aktiviti seperti hiking dan ini boleh dijadikan produk di masa depan, tapi sudah pasti kita akan kawal jumlah kemasukan kerana ia akan memberi impak kualiti hutan jika benarkan terlalu ramai masuk dan mungkin kurang kawalan terhadap kebersihan, penjagaan, pemuliharaan serta pemeliharaan alam sekitar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perisytiharan HWDS serta Seminar Mini Ekspedisi Saintifik Sungai Chiling Hutan Simpan Hulu Selangor, di sini, hari ini.

Terdahulu pada majlis itu Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan pengisytiharan HWDS melibatkan kawasan hutan seluas 108,000 hektar.

Amirudin berkata kerajaan negeri menerusi Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) akan memudahkan pendaftaran dan kawalan kemasukan ke kawasan HSK sebagai usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan hutan.

“Sekarang untuk masuk ke Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) di Selayang, anda boleh menggunakan aplikasi. Ia akan mudahkan orang ramai yang mahu pergi skywalk dan sebagainya, hanya daftar melalui aplikasi tanpa beratur di kaunter selain mudah untuk FRIM kawal jumlah orang yang masuk ke sana," katanya.

Selain itu, beliau berkata JPNS turut bekerjasama dengan Telekom Malaysia dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi membangunkan perisian pemantauan aktiviti di hutan termasuk kemasukan orang awam, pergerakan haiwan, kebakaran malah tanah runtuh berdasarkan sensor dan laporan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI