fb fb fb fb fb

Selagi tiada keputusan, Zuraida masih menteri kabinet - Ismail Sabri

TOKYO, 28 Mei - Datuk Zuraida Kamaruddin masih kekal sebagai menteri kabinet dan perlu menjalankan tugas sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi seperti biasa selagi tiada keputusan dibuat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelasnya, kedudukan Ahli Parlimen Ampang itu akan diputuskan selepas perjumpaan dalam masa terdekat ini.

"Saya tidak pecat beliau, dia masih menteri kabinet sehingga mesyuarat pada Rabu ini.

"Jadi tunggu saya balik dulu, dia bincang dengan saya, baru kita buat keputusan," katanya.

(Datuk Zuraida Kamaruddin mengumumkan keputusannya meletak jawatan sebagai
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta meninggalkan parti Bersatu dan menyertai PBM pada Khamis lalu/FOTO Facebook Zuraida Kamaruddin)

Ismail Sabri berkata keputusan akhir mengenai kedudukan Zuraida masih terletak pada tangannya.

Ketika ditanya sekiranya beliau menerima peletakan jawatan Zuraida, Ismail Sabri berkata masih lagi belum membuat keputusan.

"Saya tak tahu buat keputusan atau tidak, sehingga saya putuskan untuk dia berhenti sebagai menteri dan saya lantik menteri lain, jadi sebelum itu Zuraida masih menteri seperti biasa".

Katanya, sebarang perubahan pada Kabinet perlu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Kalau ada pelantikan baharu, angkat sumpah, ia bukan satu perkara yang mudah. Saya mesti menghormati Agong.

"Tuanku juga boleh ada pandangan berbeza dengan kita sebab itu saya tak nak terlalu cepat buat kenyataan kerana kita perlu mengikut prosedur", tambahnya lagi.

Perdana Menteri juga mengambil maklum setiap kenyataan yang dikeluarkan para pemimpin parti, dan beliau menghormati setiap satu daripadanya.

"Semua orang berhak memberi pandangan, saya hormati setiap pandangan yang diberi, ini mungkin jadi landasan saya membuat keputusan, setakat ni tiada sebarang keputusan" katanya mengakhiri sidang media di Tokyo.

Datuk Zuraida dalam kenyataan pada 26 Mei lalu, mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar daripada parti BERSATU untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) kerana tertarik dengan perjuangan parti baharu berkenaan.

Mengulas lanjut, jelas Perdana Menteri, beliau hanya mengetahui mengenai status Datuk Zuraida menerusi liputan media dan sehingga kini, Datuk Zuraida belum menghubunginya.


Lagi berita berkaitan

Datuk Zuraida umum keluar Bersatu, sertai PBM

Media Baharu