fb fb fb fb fb

Sekolah daif, 77 projek bernilai RM1.12 bilion dilaksana

Kementerian Kerja Raya (KKR) memperuntukkan sebanyak RM1.12 bilion bagi melaksanakan 77 projek sekolah daif di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak / Foto Hiasan

KLUANG, 2 September - Kementerian Kerja Raya (KKR) memperuntukkan sebanyak RM1.12 bilion bagi melaksanakan 77 projek sekolah daif di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

Peruntukan tersebut merangkumi RM584.7 juta untuk 31 projek pada tahun ini dan RM541.8 juta bagi 46 projek pada tahun lalu.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata tahun lalu, dua projek berjaya disiapkan sepenuhnya manakala 32 projek lagi sedang dalam proses pembinaan, sementara yang selebihnya berada dalam fasa reka bentuk dan perolehan.

"Hari ini, kita berada di Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu, Kluang dan kita boleh melihat salah satu projek pembinaan kantin bernilai RM2.2 juta di sekolah ini. Kantin lama dirobohkan dan ini adalah salah satu contoh projek sekolah daif yang sedang dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pembinaan semula bangunan daif di Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu, di sini.

Tambah Ahmad, kemajuan fizikal projek di sekolah tersebut telah mencapai tiga peratus siap, termasuk pembinaan laluan keluar masuk yang bermula pada 18 Julai lalu.

Projek itu dijangka siap sepenuhnya pada November tahun hadapan dan akan memberi manfaat kepada lebih 400 warga sekolah.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN