BESERI, 6 Mac – Usaha mempelbagaikan sumber makanan haiwan ternakan, termasuk penggunaan rumput napier yang berkualiti setanding dengan dedak atau makanan formula, kini giat dijalankan.
Melalui Inisiatif Dana SejaTi MADANI berjumlah RM100,000, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Seri Aman dan Kampung Tasoh telah berkolaborasi dalam menjayakan Projek Penanaman Rumput Napier di kawasan seluas enam ekar.
Menurut Bendahari JPKKP Kampung Seri Aman, Borhan Siddqi, usaha ini diambil sebagai alternatif berikutan kenaikan harga dedak dan makanan ternakan siap proses yang diimport, selain dipengaruhi oleh pasaran luar serta ketidaktentuan ekonomi.
“Rumput napier dipilih kerana mudah ditanam, mudah dijaga, dan mempunyai permintaan tinggi daripada penternak di Perlis. Ketika ini, terdapat sekitar tiga pengusaha rumput napier di negeri ini, sedangkan permintaan semakin meningkat,” katanya.
Selain itu, tanaman ini berpotensi menjana pendapatan pasif untuk jangka masa panjang kerana kos napier yang diproses lebih murah, iaitu hanya RM10.00 bagi setiap kampit 25 kilogram berbanding dedak yang kini berharga lebih RM60.00 bagi kampit 50 kilogram.
“Ketika ini, pendapatan hasil daripada tanaman rumput napier mampu mencecah antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan, dan permintaan daripada penternak lembu serta kambing semakin meningkat setiap hari,” tambah Borhan.
Beliau turut memaklumkan bahawa JPKKP Kampung Seri Aman sedang merangka strategi bagi memperluaskan tanaman rumput napier sehingga 20 ekar bagi menampung permintaan tinggi.
Ketika tinjauan RTM ke Projek Penanaman Napier di Kampung Seri Aman bersama Pengerusi Jawatankuasa Aktiviti KEMAS Parlimen Padang Besar, Ruzaini Rais, penternak lembu dan kambing, Mohd Firdaus Mat Aji, menyambut baik inisiatif berkenaan.
“Usaha yang dilaksanakan oleh JPKKP Kampung Seri Aman dan JPKKP Kampung Tasoh amat membantu penternak dalam mendapatkan bekalan rumput napier untuk ternakan mereka. Ini juga mampu meringankan kos yang sebelum ini hanya bergantung kepada dedak,” katanya.