ARAU, 8 Mei - Hujan lebat yang sedang melanda seluruh Perlis ketika ini menyebabkan sebahagian laluan utama dari Changlun ke Arau berhampiran kampus Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Ulu Pauh ditenggelami air.
Ini menyebabkan pengguna jalan raya khususnya yang dalam perjalanan ke Perlis perlu berhati-hati ketika melalui jalan berkenaan disebabkan hanya lorong kanan dibuka sepanjang laluan.
Menurut Exco Negeri yang juga ADUN Pauh, Rozieana Ahmad, pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Ibu Pejabat Polis Daerah Arau sedang memantau dan mengawal lalu lintas di kawasan yang dilanda banjir kilat.
(Hanya lorong kanan dibuka sepanjang laluan utama dari Changlun ke Arau berhampiran
kampus Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Ulu Pauh akibat banjir kilat)
Dua buah rumah turut dilaporkan dimasuki air namun belum ada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka berikutan kejadian tersebut dan hujan masih turun.
Pemantauan sedang dilakukan oleh semua agensi yang terlibat dalam memastikan keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya yang melalui laluan Changlun ke Arau.