fb fb fb fb fb

'Scammer' menyamar Pos Malaysia tipu mangsa

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Mac- Pos Malaysia menjadi sasaran jenayah penipuan atau 'scammer' untuk menipu mangsa dengan pelbagai modus operandi, penghujung tahun lalu.

Menurut Pengarah Operasi Pos Malaysia Berhad, Zaini Yahman, antara platform digunakan 'scammer' bagi tujuan berkenaan termasuk panggilan telefon, SMS, WhatsApp dan e-mel.

Jelas Zaini, Pos Malaysia mengambil inisiatif dengan mempertingkatkan kesedaran tentang aktiviti itu dengan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara.

"Mulai Januari tahun ini kita mula bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan juga PDRM Perak. Tujuan kerjasama ini adalah memberi kesedaran kepada masyarakat tentang 'scammer' yang menggunakan nama Pos Malaysia. Kita beri kesedaran bukan sahaja rakyat negeri Perak, tetapi di seluruh negara," katanya kepada pemberita ketika menjadi tetamu dalam rancangan terbitan RTM di sini.

Zaini turut menyeru agar masyarakat tidak mendedahkan sebarang maklumat peribadi kepada 'scammer'.

"Sekiranya anda menerima sama ada SMS, WhatsApp, e-mel ataupun telefon daripada mana-mana orang yang tidak dikenali dan berasa curiga, tolong pastikan bahawa tidak diberikan maklumat peribadi anda. Selain itu, jangan sesekali mendedahkan nombor akaun anda kerana kita di Pos Malaysia, kita tidak pernah menghantar mana-mana SMS, WhatsApp, e-mel ataupun menghubungi pelanggan kita, memohon maklumat-maklumat peribadi," katanya.

Tambahnya, pelanggan boleh menghubungi Pos Malaysia di talian 1300- 300- 300 atau melayari laman web Pos Malaysia untuk menyemak sebarang kemusykilan.

"Pelanggan juga boleh melaporkan sebarang aduan di talian 997 ataupun boleh melaporkan insiden kepada Jabatan Siasatan Jenayah di talian 013-211222. Sekiranya SMS mengandungi nombor akaun yang disertakan, boleh layari laman web PDRM bagi memeriksa kesahihan sebarang maklumat," kata Zaini.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM