fb fb fb fb fb

Saya tidak akan bertanding PRU DUN Johor- Ahmad Maslan

 



PONTIAN, 29 Januari- Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menolak khabar angin dirinya akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Johor.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian mengesahkan tidak akan bertanding dan ia sama sekali tidak akan berlaku.

Sebaliknya beliau akan memberi tumpuan untuk membantu jentera Barisan Nasional (BN) dan UMNO pada PRU DUN Johor.

“Jika dicari dalam kertas undi pada PRN Johor, nama saya tiada. Jadi dalam erti kata lain, saya mengesahkan tidak akan bertanding di mana-mana kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) di Pontian iaitu DUN Pulai Sebatang atau Benut.

“Namun saya tetap akan bantu parti, saya akan bantu Datuk Hasni (Mohamad) yang juga Ketua Bahagian UMNO Pontian dan Menteri Besar Johor untuk dicalonkan semula di DUN Benut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas penyerahan sumbangan Tahun Baru Cina di DUN Benut di sini hari ini.

Beliau turut menzahirkan sokongan penuh kepada Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad, untuk dicalonkan semula bagi DUN Benut.

Tegasnya, Barisan Nasional juga berhasrat untuk memenangi DUN Pulai Sebatang dan DUN Pekan Nenas yang tidak dimenangi pada pilihan raya sebelum ini.

Selain itu, Ahmad memberitahu, beliau turut akan menjlankan tugas membuat tinjauan ke 56 DUN di Johor, bagi membolehkan pertemuan tertutup dengan akar umbi parti diadakan.

“Saya akan bantu parti untuk PRU DUN ini. Itu sudah pasti. Dalam pada itu juga saya akan turun ke semua 56 DUN bagi memastikan ia berjalan lancar,” jelasnya.

Media Baharu