fb fb fb fb fb

'Saya paling sayang al-Quran dan tasbih yang hangus terbakar'

GUA MUSANG, 5 Jun - Belum pun pulih sepenuhnya akibat pandemik COVID-19, sebuah keluarga mualaf diuji lagi apabila rumah sewa didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Kerinting di sini, pada Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, rumah yang didiami Faridah Lanar, 43, yang berbangsa Kadazan bersama suami Pandan Leman, 69, yang berbangsa Iban serta dua anak perempuan mereka, Natalia Veronie, 21, dan Nor Fifi Adlynna , 11, sejak setahun lalu, musnah terbakar menyebabkan keluarganya tinggal sehelai sepinggang.

Faridah berkata, dalam keadaan yang sukar dengan pendapatan suami yang tidak menentu, menyebabkan mereka buntu khususnya untuk mencari kediaman baharu.

Apa yang membuatkan Faridah bertambah sedih apabila Al-Quran dan tasbih kesayangan pemberian ustaz ketika dia mula memeluk Islam turut hangus terbakar.

Katanya, al-Quran dan tasbih itulah yang sering dibacanya selepas memeluk Islam lebih 10 tahun lalu.

(Faridah (kanan) bersama suami dan anak perempuannya melihat motosikal yang musnah hangus dalam kebakaran pada Khamis lalu)

"Kalau nak kata sedih, saya memang sedih...tak tahu nak cakap. Saya tak kisah tentang harta benda yang lain tapi al-Quran, tasbih antara benda paling yang saya sayang.

"Saya berharap saya dapat rumah yang lain untuk meneruskan kehidupan. Mungkin ini cabaran buat saya dan keluarga, saya hanya mengucap syukur kepada Allah," luahnya dengan sayu ketika ditemui pemberita di sini.

Sementara itu, suaminya Pandan yang menetap di daerah ini sejak 15 tahun lalu berkata, mereka berharap mendapat bantuan kediaman bagi meneruskan kehidupan.

“Kami tidak tahu ke mana hendak pergi lagi lepas ini dan kini tinggal bersesak bersama saudara yang mempunyai lapan orang ahli keluarga lain.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Faridah Lanar bernombor, 03020-41-000065894 atau hubunginya di talian 017-9733005.

Media Baharu