Saya bersara daripada jawatan, bukan daripada prinsip – Ayob Khan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Julai – Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan persaraannya hari ini hanyalah penamat sebuah jawatan, namun bukan pengakhiran kepada prinsip yang dipegang sepanjang lebih 34 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertahankan integriti, kejujuran dan keadilan tanpa pilih bulu; junjung amanah diberikan rakyat.
  • Tegas menolak rasuah, salah guna kuasa dan campur tangan yang mencemarkan imej pasukan; pelihara maruah.
  • Berani mempertahankan kebenaran walau sukar dan berisiko; lakukan yang betul demi amanah dan negara.

Dalam ucapan penuh emosi pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara, beliau mengingatkan seluruh warga Sang Saka Biru agar terus mempertahankan integriti, menegakkan keadilan tanpa memilih bulu serta tidak sesekali mengkhianati amanah yang diberikan rakyat.

Menurut beliau, kekuatan sebenar seseorang anggota polis bukan hanya terletak pada kuasa dan pangkat, sebaliknya pada kejujuran, keberanian serta kesetiaan terhadap amanah yang dipikul.

Tan Sri Ayob Khan turut menitipkan pesanan agar seluruh warga PDRM terus menolak sebarang bentuk rasuah, salah guna kuasa dan campur tangan yang boleh mencemarkan imej pasukan.

Beliau menegaskan bahawa integriti merupakan benteng utama dalam memastikan kepercayaan rakyat terhadap PDRM terus kekal utuh.

“Jangan sesekali menggadaikan maruah pasukan demi kepentingan peribadi. Rasuah adalah musuh yang mampu menghancurkan organisasi dari dalam. Peganglah amanah dengan penuh keikhlasan dan jadilah anggota yang berani berkata tidak kepada rasuah dalam apa jua keadaan,” katanya.

Beliau turut mengakui sepanjang kerjayanya, beliau memilih untuk melakukan perkara yang betul walaupun sukar, tidak popular dan terpaksa menanggung risikonya sendiri.

Baginya, keberanian bukan bererti tiada rasa takut, sebaliknya tetap mempertahankan kebenaran walaupun perlu membayar harga yang tinggi.

Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan, kepimpinan PDRM, seluruh pegawai dan anggota serta keluarga yang menjadi kekuatan sepanjang 34 tahun, 7 bulan dan 25 hari perkhidmatannya.

Beliau juga memohon maaf sekiranya ketegasan dan tindakannya sepanjang memimpin pernah mengguris hati mana-mana pihak.

Mengakhiri ucapannya, Tan Sri Ayob Khan menyeru seluruh warga PDRM agar terus berkhidmat dengan berani, berlaku adil, menolak rasuah, mempertahankan integriti serta memelihara maruah pasukan demi agama, bangsa dan negara.

“Secara rasminya saya mungkin bersara daripada jawatan, tetapi saya tidak akan bersara daripada prinsip,” katanya mengakhiri ucapan yang disambut dengan tepukan gemuruh para hadirin.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.