BATU PAHAT, 31 Disember - Satu blok asrama tahfiz dua tingkat di kawasan Parit Raja, di sini terbakar pagi tadi.
Menurut Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat ( BBP) Ayer Hitam Penolong Penguasa Bomba Mohd Shamin Mohamed Salikin, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 8.35 pagi tadi dan mengesahkan tiada mangsa terlibat.
Seramai 23 anggota dihantar ke lokasi bersama-sama tiga jentera bagi memadamkan kebakaran.
"Setibanya di lokasi, pasukan keluaran khas (PKO) mendapati kebakaran melibatkan asrama pelajar di tingkat dua bangunan berkenaan yang dianggarkan musnah 40 peratus daripada keseluruhan bangunan," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, kebakaran berjaya dipadamkan pukul 10.50 pagi. Punca kejadian masih dalam siasatan.