
KUALA LUMPUR, 10 Februari – 14 Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) perlu menjalani penilaian prestasi pelaksanaan projek pembangunan, selepas didapati tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata penilaian itu dijalankan berasaskan sistem merit kerajaan merangkumi dua mekanisme utama iaitu konsep demerit dan remerit bagi mengukur prestasi sebenar kementerian terlibat.
Beliau berkata penekanan tertumpu kepada penilaian yang melibatkan projek pembangunan berdasarkan peruntukan pembangunan (DE) sehingga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sebelum markah diberikan kepada 14 kementerian yang tidak mencapai sasaran dimuktamadkan.
“Kalau kementerian itu, projek pembangunannya tidak bagus, pelaksanaannya tidak baik, kita beri demerit. Tapi jika pencapaiannya baik di peringkat negara dan antarabangsa, kita akan beri remerit secara adil,” katanya.
Beliau ditemui pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan Antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Bilangan 1 Tahun 2026 di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, dan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Pada 15 Januari lalu, 14 kementerian dikenal pasti gagal mencapai sasaran pelaksanaan projek pembangunan fizikal yang diperuntukkan pada tahun lalu, dengan perbelanjaan pembangunan hanya mencatat 87.91 peratus, iaitu di bawah purata nasional dan memerlukan perhatian serius.