
- Sasaran 70 peratus adalah penanda aras strategik dalam DAN 2.0, bukan dasar mutlak.
- Langkah itu untuk perancangan jangka panjang subsektor padi dan menyesuaikan dengan permintaan pengguna.
- Kempen beli beras tempatan dilaksanakan kerana pengambilan beras tempatan masih rendah dan perlu anjakan strategi.
KUALA LUMPUR, 12 Februari – Sasaran pengeluaran beras tempatan sebanyak 70 peratus berbanding 30 peratus beras import, bukanlah satu dasar yang mutlak.
Sebaliknya, ia merupakan satu penanda aras strategik yang ditetapkan dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021–2025.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu
berkata langkah tersebut untuk tujuan perancangan jangka panjang subsektor padi dan beras yang tidak menentu, selain faktor permintaan pengguna.
“Setakat ini, pembelian beras tempatan hanya melibatkan kira-kira 10 hingga 15 peratus daripada pengeluaran berikutan orang ramai telah biasa dengan beras import. Sehubungan itu, kempen beli beras tempatan (BPT) dilaksanakan bermula dengan had pembelian satu kampit dan dinaikkan kepada dua kampit seterusnya lima kampit bagi setiap transaksi.
“Namun, didapati kebanyakan peruncit memulangkan kembali beras tempatan disebabkan kurang laku. Sebab itu, kita akan membuat anjakan tidak lama lagi,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di sini.
Beliau turut memaklumkan statistik semasa menunjukkan tahap Kadar Sara Diri (SSR) beras negara pada tahun 2024 mencatatkan penurunan kepada 52.9 peratus berbanding 56.2 peratus pada tahun 2023.
Jumlah pengeluaran padi yang direkodkan pada 2024 adalah sebanyak 2.06 juta tan metrik yang menghasilkan 1.36 juta tan metrik beras berbanding pengeluaran padi pada tahun 2023 yang direkodkan sebanyak 2.17 juta tan metrik yang menghasilkan 1.43 juta tan metrik beras.