(FOTO BERNAMA)
KUCHING, 9 Ogos - Sarawak dipilih menjadi tuan rumah bagi Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2023 yang bakal berlangsung di Stadium Perpaduan di sini, pada 16 September ini.
Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dalam satu kenyataan memaklumkan sambutan bertemakan “Malaysia MADANI Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” itu akan dihadiri tetamu kehormat Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud.
Turut dijangka hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak , Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak yang juga menteri bertanggungjawab bagi sambutan itu, Datuk Julaihi Narawi berkata pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah merupakan satu penghormatan.
“Sarawak selalu dirujuk sebagai contoh semangat perpaduan yang begitu baik sekali. Baru-baru ini, slogan ‘Segulai, Sejalai’ dipilih kerana kita sentiasa bersatu padu dan sepakat dalam mempertahankan perpaduan,” katanya dalam kenyataan.
(Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak yang juga menteri bertanggungjawab
Sambutan Hari Malaysia, Datuk Julaihi Narawi)
Antara persembahan yang bakal disajikan pada hari berkenaan ialah Persembahan Khas: Musical "Segulai, Sejalai" serta persembahan yang menampilkan tiga wilayah dalam negara iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Pada 7 Jun lalu, Anwar berkata frasa bahasa Iban di Sarawak “Segulai Sejalai” yang bermaksud seiring sejalan akan digunakan sebagai cogan kata perpaduan untuk seluruh negara.