fb fb fb fb fb

Sarawak tidak aniaya firma China dalam projek infrastruktur negeri

Datuk Amar Douglas Uggah Embas (tengah) melawat tapak pembinaan Jambatan Lupar 1 dan Jambatan Batang Saribas 1 / FOTO PEJABAT TIMBALAN PREMIER SARAWAK

KUCHING, 22 Januari- Dakwaan mengatakan kerajaan negeri Sarawak menganiaya atau mendiskriminasi firma dari China yang terlibat dalam projek infrastruktur besar di negeri ini adalah tidak benar.

Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata tanggapan sedemikian timbul apabila kontrak bagi pembinaan Jambatan Rambungan di Kuching yang diendalikan syarikat China ditamatkan baru-baru ini.

Kontrak tersebut ditamatkan selepas ianya gagal menepati jadual yang telah ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Datuk Amar Douglas yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan Jambatan Batang Saribas 2 di Beladin, Betong.

Beliau sebelum itu melawat tapak pembinaan Jambatan Lupar 1 dan Jambatan Batang Saribas 1.

Mengenai projek Jambatan Batang Lupar Satu yang bernilai RM848.745 juta, Datuk Amar Douglas memberitahu beliau puas hati dengan kemajuan projek itu.

Projek berkenaan dijangka siap menjelang November 2025, sekiranya kerja-kerja pembinaan berjalan lancar.

Manakala untuk pembinaan Jambatan Batang Saribas 1, projek bernilai RM375.5 juta itu disasarkan siap pada April 2025.

Bagi projek Jambatan Batang Saribas 2 pula beliau berkata projek bernilai RM385 juta berkenaan dijangka siap pada 1 Ogos 2025.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE