KUCHING, 19 Februari- Sarawak kini memberi tumpuan terhadap usaha menghapus penyakit kanser pangkal rahim atau kanser serviks menjelang tahun 2030 melalui pemerkasaan vaksinasi dan pemeriksaan awal.
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, antara masalah kesihatan utama dalam kalangan wanita pada masa kini ialah kanser serviks.
Jelasnya, penyakit berkenaan boleh dicegah melalui suntikan vaksin human papillomavirus (HPV) pada usia remaja.
Selain itu, saringan kanser serviks secara berkala menggunakan kaedah Ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) amat digalakkan, sekurang-kurangnya dua kali antara umur 30 hingga 65 tahun.
Datuk Dr Sim berkata, Ujian PCR yang digunakan untuk saringan COVID-19, juga menggantikan kaedah Ujian Pap Smear kerana ia jauh lebih berkesan dan tepat dalam mengesan kanser serviks.
Beliau memberitahu pihaknya kini bekerjasama rapat dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia bawah Datuk Seri Nancy Shukri, untuk melaksanakan program-program berkaitan kesedaran di kalangan wanita di Sarawak tentang kanser serviks, sekali gus menggalakkan mereka untuk tampil membuat saringan awal.
Tambahnya, Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC), sedang meneroka potemsi penggunaan teknologi perubatan genetik dan kecerdasan buatan (AI) dalam bidang kesihatan serta perubatan di negeri berkenaan.
Datuk Dr Sim berkata demikian dalam satu sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program 'Ultimate Adventure Trail Guide in Gynaecological Pathology and Cytopathology' di Kuching.