fb fb fb fb fb

Sarawak pemegang saham terbesar dalam Affin Bank

Pejabat Premier Sarawak

KUCHING, 27 September- Kerajaan Sarawak menerusi anak syarikatnya SG Assetfin Holdings Sdn Bhd (SAH) kini merupakan pemegang saham terbesar dalam Affin Bank dengan saham sebanyak 31.25 peratus.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, nama bank berkenaan akan dikekalkan walaupun Sarawak memiliki saham terbesar.

"Sudah tentu menjadi institusi kewangan yang dapat membantu dalam pembangunan industri-industri baru dalam ekonomi baru di mana Sarawak mempunyai kekuatan sumber selain teknologi baru.

"Ia termasuk pendekatan digital. Saya percaya bank ini akan mewujudkan platform kewangan serta sinergi dengan bank yang kukuh dan berkebolehan untuk memaksimum potensi ekonomi Sarawak," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Pemeteraian Perjanjian Jual dan Beli (SPA) pegangan saham Affin antara Kerajaan Sarawak, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan Boustead Holdings Bhd di sini.

Perjanjian Jual Beli saham tersebut ditandatangani oleh Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar mewakili Kerajaan Sarawak dan LTAT diwakili oleh Pegawai Eksekutifnya Mohamad Ashraf Md Radzi.

Sebelum pembelian berkenaan, Kerajaan Sarawak memegang 4.81 peratus saham dalam Affin Bank.

Sementara itu Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin, Datuk Wan Razly Abdullah menyifatkan langkah berkenaan merupakan lonjakan yang akan mendorong Affin menuju kecemerlangan.

Affin juga bakal meningkatkan jumlah cawangan bank tersebut di Sarawak daripada enam kepada 14 pada suku pertama tahun depan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI