fb fb fb fb fb

Sarawak kaji tambahan dana bantuan banjir

Kerajaan Sarawak akan menambah peruntukan dana bantuan banjir yang sebelum ini berjumlah RM10 juta bagi membantu mangsa banjir di seluruh negeri / Foto Hiasan / Bernama

SIBU, 1 Februari – Kerajaan Sarawak akan menambah peruntukan dana bantuan banjir yang sebelum ini berjumlah RM10 juta bagi membantu mangsa banjir di seluruh negeri.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata beliau akan membawa cadangan tersebut ke mesyuarat kabinet bagi memastikan jumlah dana mencukupi untuk meringankan beban rakyat yang terjejas.

"Saya menerima maklum balas hari ini bahawa tambahan RM10 juta yang diumumkan baru-baru ini mungkin tidak mencukupi. Jadi, saya perlu membawa perkara ini ke kabinet lagi agar kita dapat membantu mereka yang terkesan akibat bencana ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Gabungan Persatuan Cina (UCA), di sini.

Dalam ucapannya, beliau turut menyentuh tentang banjir buruk yang melanda Bintulu baru-baru ini, yang disifatkan sebagai paling teruk dalam tempoh 30 tahun.

"Kami bersimpati dengan penduduk di Bintulu. Saya dimaklumkan bahawa secara purata, jumlah hujan yang turun dalam setahun di Bintulu adalah 100 milimeter. Namun, pada hari kejadian, kadar hujan meningkat secara mendadak kepada 900 milimeter, menyebabkan banjir besar," katanya.

Selain itu, Premier Sarawak turut berkongsi pencapaian ekonomi negeri bagi tahun lalu, yang mencatatkan kedudukan lima teratas dalam prestasi ekonomi negara serta tempat keempat dalam eksport ke luar negara.

"Pendapatan Sarawak tahun lepas meningkat kepada RM14.2 bilion, dan ini membuktikan prestasi ekonomi kita terus berkembang," ujarnya.

Beliau turut menzahirkan harapan agar ekonomi Sarawak terus diperkukuhkan tahun ini, terutama melalui promosi ekonomi hijau, eksport hidrogen, serta penjualan metanol ke China sebagai antara fokus utama kerajaan negeri.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN