SIBU, 6 Julai - Sarawak yang kaya dengan warisan kebudayaan dan berkembang pesat dalam bidang teknologi berpotensi besar dalam industri permainan video global dan menjadi hab bagi inovasi pembangunan permainan berkenaan.
Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata Sarawak mempunyai peluang untuk menggabungkan unsur tradisional dengan inovasi moden dalam mencipta permainan video yang menarik, namun tetap berpegang terhadap akar budaya negeri.
“Visi ini melibatkan tentang mengubah persekitaran pembangunan permainan video menerusi perkongsian pengetahuan dan menggunakan teknologi terkini.
"Kami berhasrat untuk meningkatkan industri permainan video dengan menggalakkan pertukaran pelbagai idea, mempamerkan teknologi baharu dan meraikan budaya permainan video menerusi pendidikan. Ini bukan bukan sekadar matlamat, malah janji untuk membawa industri permainan video ke tahap baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Pembangunan Permainan Video Antarabangsa 2024 di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini hari ini.
Ugak berkata sejajar dengan itu, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) selaku agensi di bawah Kementerian Digital akan memberi sokongan terhadap industri permainan video dengan menyediakan pelbagai program dan geran untuk memupuk bakat, mempromosikan pembangun permainan video tempatan serta menarik syarikat permainan video antarabangsa ke Malaysia.
Beliau berkata MDEC menawarkan platform untuk rangkaian, akses ke pasaran serta pembangunan kapasiti bagi memastikan industri itu berkembang maju di dalam dan luar negara.
“Selain itu, Sarawak boleh memanfaatkan sokongan dan bantuan MDEC dengan menggunakan sumber berkenaan untuk membangunkan sektor video permainannya. Menerusi MDEC, pembangun permainan video Sarawak boleh mendapatkan peluang pembiayaan, menyertai bengkel perningkatan kemahiran serta mendapat pendedahan terhadap pasaran antarabangsa.
"Kerjasama ini mampu membantu Sarawak memanfaatkan bakat kreatifnya dan memacu pertumbuhan dalam industri digitak serta permainan video," katanya. - BERNAMA