fb fb fb fb fb

SARA terus bantu golongan sasar tangani kos sara hidup

FOTO BERNAMA

IPOH, 23 Disember - Sumbangan Asas Rahmah (SARA) terus memberi manfaat kepada golongan sasar di Perak, khususnya dalam membantu meringankan beban kos sara hidup.

Tinjauan RTM mendapati penerima bantuan menyifatkan inisiatif kerajaan itu amat membantu, khususnya dalam mendepani kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Ia (SARA) sedikit sebanyak membantu saya meringankan beban dan kos sara hidup di mana saya dapat menggunakan bantuan RM100 sebulan itu untuk membeli keperluan barangan keluarga seperti mana lampin pakai buang, susu anak dan sebagainya. Di samping itu, RM100 yang saya terima juga dapat membantu meringankan beban bagi menampung perbelanjaan bulanan yang saya tanggung setiap bulan," kata penerima SARA, Muhamad Amirulfarhan Mohd Daud.

"Sebenarnya bantuan berkenaan dapat membantu dalam membeli barangan keperluan dan juga ubat-ubatan. Saya sangat bersyukur kerana kini pelbagai kedai boleh menebus bantuan SARA ini. Jika dahulu hanya kedai-kedai tertentu sahaja, tetapi sekarang di kawasan pedalaman juga terdapat kedai-kedai yang sudah boleh menebus bantuan itu," kata penerima SARA, Mohd Zailani Othman.

"SARA sedikit sebanyak dapat membantu golongan B40 seperti saya ini, dan pastinya ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam membantu golongan B40 yang terjejas dengan kenaikan kos sara hidup sejak sekian lama. Kita berharap bantuan ini dapat sedikit sebanyak menjadi petunjuk kepada komitmen besar kerajaan dalam membantu rakyat mengharungi kehidupan yang serba mencabar pada masa kini," kata penerima SARA, Ahmad Amin Idris.

"Dengan bantuan SARA ini, walaupun nilainya kelihatan kecil, namun ia sangat membantu golongan yang memerlukan, dan sememangnya kerajaan sangat membantu golongan tersebut," kata penerima SARA, Norhafizah Shahadan.

"Dengan bantuan itu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan atas bantuan RM100 setiap bulan yang saya terima. Bantuan ini amat bermakna dan sedikit sebanyak membantu meringankan beban perbelanjaan harian saya," kata penerima SARA, A.Manjula.

Pelaksanaan SARA di Perak dijangka terus memberi impak positif kepada golongan berpendapatan rendah, sejajar usaha kerajaan memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.

Media sebelum ini melaporkan Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang serta Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan kadar purata penggunaan SARA menghampiri 100 peratus.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM