KUALA LUMPUR, 15 Januari – Pengagihan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sambutan baik daripada rakyat, terutama golongan memerlukan.
Inisiatif itu diharapkan dapat membantu meringankan beban menjelang bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri, di samping memberikan impak positif kepada ekonomi keluarga yang terjejas.
Hanizan Issab, meluahkan rasa syukur atas inisiatif tersebut. "Dapat membantu kebanyakan asnaf dan orang-orang yang kurang berpendapatan. Sudah hendak raya, hendak puasa, makanan pun banyak naik, keperluan pun kena beli, kami sangat bersyukur. Sedikit sebanyak sumbangan itu dapat membantu ekonomi keluarga untuk terus mencari rezeki," katanya.
Rafeah Maulud, seorang ibu tunggal, turut berterima kasih atas bantuan yang disalurkan. "Baguslah dapat bantuan. Makcik sekarang ibu tunggal, warga emas, memang banyak membantu," katanya.
Sementara itu, Salmah Osman menyokong penuh langkah kerajaan, terutamanya dalam menghadapi kenaikan harga barang.
"Memang sesuai betul, hendak menyambut bulan puasa ini, barang kita mahal sekarang, jadi kalau ada bantuan macam itu, alhamdulillah kita sokonglah" katanya.