fb fb fb fb fb

SAR lelaki dikhuatiri lemas di Pantai Batu Buruk diperluas

Operasi SAR turut dibantu dengan penggunaan tiga buah jet ski

KUALA TERENGGANU, 19 Februari- Hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri lemas di Pantai Batu Buruk diperluaskan sehingga radius 20 batu nautika sehingga ke perairan Pulau Kapas di daerah Marang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar tidak menolak kemungkinan mangsa mungkin telah dihanyutkan dalam radius perairan yang lebih jauh berikutan keadaan semasa corak arus semasa.

Jelasnya lagi pencarian di pesisir pantai telah dipecahkan kepada lima sektor sehingga jarak 10 km dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Sehingga kini operasi pencarian masih memfokuskan pencarian di air, udara dan pesisir pantai dengan sokongan pencarian dari pelbagai agensi dan orang awam yang turut serta.

"Kita mengharapkan keadaan cuaca pada hari ini memberi sesuatu yang positif untuk pencarian mangsa dan kita mengharapkan mangsa dapat dihanyutkan ke pantai pada pencarian hari ini. Itu yang kita harapkan,"katanya.

Terdahulu pada petang kelmarin, kegembiraan empat sekeluarga yang berkelah di pantai Batu Buruk bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas.

Mangsa yang berasal dari Kuala Lumpur berusia 44 tahun hilang selepas dihanyutkan ombak sewaktu bersiar-siar di persisir pantai tersebut.

Sementara itu, Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid@Razali berkata Maritim Malaysia melalui Maritime Rescue Sub-Center MRSC telah menetapkan sektor pencarian diperbesar merangkumi keluasan 67.8 batu nautika persegi berpandukan keadaan arus dan cuaca pada hari ini.

Empat aset, masing-masing dari Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia JBPM telah diaturgerak bagi melakukan pencarian dari Muara Kuala Terengganu ke Pulau Kapas.

Manakala Anggota RELA dan APM melaksanakan rondaan di persisir pantai bagi membantu pencarian.

Tiga buah jet ski orang awam turut serta membantu dalam pencarian.

Pencarian hari ini juga turut dibantu melalui tinjauan udara oleh JPBM menggunakan EMARS Augusta A109E.

1902 SAR BATU BUROKKetua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE