
KOTA TINGGI, 7 Februari – Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) mengadakan sesi libat urus dengan lima sekolah yang terlibat wabak Tuberkulosis (tibi) di daerah ini selain melaksanakan kerja-kerja sanitasi dan pembersihan menyeluruh di lokasi dikenal pasti berisiko.
- PKD jalankan libat urus dengan lima sekolah yang terlibat wabak tibi.
- Kerja sanitasi dan pembersihan menyeluruh dilaksanakan di lokasi berisiko.
- Pegawai Perubatan dihantar memberi penerangan dan langkah pencegahan kepada warga sekolah.
- Tiga sekolah rendah dan dua menengah telah jalani saringan penuh oleh KKM.
Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin, berkata PKD turut menghantar pegawai perubatan ke sekolah terbabit bagi memberi penerangan lanjut berkaitan penyakit berkenaan.
Menurut beliau, pegawai terlibat juga akan menerangkan langkah-langkah pencegahan yang perlu dipatuhi oleh warga sekolah bagi mengekang penularan jangkitan.
Setakat ini, murid di tiga sekolah rendah dan dua sekolah menengah yang terlibat telah menjalani saringan sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Beliau berkata, tiada arahan penutupan sekolah dikeluarkan oleh PKD setakat ini.
Kesemua langkah berkenaan diambil susulan pengesanan enam pelajar dari lima sekolah yang disahkan positif Tuberkulosis.