KUALA LUMPUR, 19 Jun- Sambutan Ulang Tahun ke-50 Penubuhan Hubungan Diplomatik antara Malaysia dan China adalah saat yang penting untuk diraikan di samping memperkukuh kerjasama pada masa depan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata sambutan itu amat bermakna memandangkan jalinan hubungan kedua-dua negara sejak 50 tahun lepas yang dimulakan oleh Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dalam kunjungan ke China kini telah membuahkan hasil yang baik.
"Kita lihat hari ini telah membuahkan hasil di mana seperti disebut Perdana Menteri satu hubungan yang menyeluruh dan strategik dan apa disebut sebagai kerjasama komprehensif dan sekarang China merupakan negara dagang utama bagi Malaysia sejak 15 tahun yang lepas,"katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam bagi sambutan Ulang Tahun ke-50 Penubuhan Hubungan Diplomatik antara Malaysia dan China malam ini.
Sementara itu, mengenai buku mewah Ties that Bind, Fahmi berkata pelancarannya pada majlis tersebut pada waktu yang tepat, diatur seiring dengan perjalanan Malaysia dan China yang dilalui bersama selama ini.
Beliau berharap buku mewah berkenaan dapat memberikan perspektif tentang hubungan dua negara dan membantu memperkukuh lagi hubungan kedua-dua negara.
Ties that Bind menandakan kesinambungan hubungan dua hala dan pertukaran antara Malaysia dan China.