fb fb fb fb fb

Sambutan luar biasa UMMU 2025, bukti kepentingan agenda wanita dan keluarga

UMMU 2025 berlangsung di Auditorium JAKIM, Putrajaya

PUTRAJAYA, 9 Disember - Penganjuran sulung Usrah Mega Muslimah (UMMU 2025) hari ini melakar sejarah tersendiri apabila menarik penyertaan hampir 800 Muslimah dari seluruh negara.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata sambutan luar biasa itu membuktikan agenda pembangunan wanita dan institusi keluarga terus menjadi fokus utama masyarakat.

Menurutnya, wanita memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan rumah tangga, sekali gus mempengaruhi keharmonian sosial secara keseluruhan.

“Antara cabaran utama yang kita hadapi adalah isu kekeluargaan yang bermula di rumah. Wanita, terutamanya para isteri dan ibu, memainkan peranan besar dalam memastikan wujudnya keharmonian antara suami dan isteri serta dalam membina keluarga bahagia.

"Dengan program seperti UMMU 2025 ini, insya-Allah kita dapat memperkukuh institusi keluarga dan seterusnya membangunkan masyarakat Madani,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada UMMU 2025 yang berlangsung di Auditorium JAKIM, Putrajaya.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran bekas Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang merasmikan program berkenaan.

Penganjuran julung kali itu memberi tumpuan kepada pengisian yang merangkumi pembinaan keluarga, kesejahteraan emosi, serta pengukuhan peranan wanita sebagai ejen keharmonian masyarakat.

Datuk Dr Sirajuddin turut memaklumkan bahawa JAKIM merancang untuk memperluaskan program tersebut ke peringkat negeri dengan kerjasama PUSPANITA dan jabatan agama negeri bagi memastikan manfaatnya dapat dicapai lebih ramai wanita Muslim.

Dengan sambutan yang memberangsangkan, UMMU 2025 dilihat sebagai langkah awal ke arah mewujudkan rangkaian sokongan Muslimah yang lebih menyeluruh, sekali gus memperkukuh teras keluarga dalam pembentukan masyarakat Madani yang sejahtera.

HASRON BIN HASSAN