PUTRAJAYA, 8 November- Sambutan Dua Tahun Kerajaan MADANI yang dijadualkan pada 22 hingga 24 November ini akan bertukar lokasi ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada sesi mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi (Jumaat).
Sambutan pada hari kemuncak iaitu pada 23 November dijangka dihadiri seluruh jentera pentadbiran negara termasuk Perdana Menteri dan jemaah menteri selain ketua-ketua jabatan serta agensi.
"Tarikhnya tetap sama, 22 hingga ke 24 November.
"Antara lain pertukaran lokasi mungkin disebabkan faktor lokasi, ruang. Ini antara pertimbangan yang telah diberikan dan sudah pasti kita akan umumkan dalam masa terdekat program-program yang akan diadakan sempena hari berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media minggu di Kementerian Komunikasi di sini.
Sebelum ini Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) ditetapkan sebagai lokasi sambutan berkenaan.