fb fb fb fb fb

SAKJ disaran perkasa persatuan alumni, bantu sekolah

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi/ BERNAMA

JOHOR BAHRU, 24 Julai- Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) disaran untuk memperkasa dan menggerakkan persatuan alumni bagi  membantu serta menyumbang semula kepada pembangunan sekolah masing-masing.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pendekatan itu dilihat dapat membantu pihak sekolah mencari dana lain, selain yang diperuntukkan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Beliau menjadikan Maktab Sultan Abu Bakar (EC) dan Sekolah Tun Fatimah di Johor Bahru yang berjaya memperkasakan persatuan alumni sehingga berjaya mengumpul dana sehingga RM1 juta.

"Jadi saya nak cadangkan, kalau boleh ramai sahaja yang hendak infak, hendak membantu. Alhamdulillah bila kita buat Program Semarak Subuh setiap minggu, ramai individu-individu yang tampil ke hadapan untuk membantu.

"Tapi kalau kita tidak rencanakan, kita tidak atur strategi begitu, dia tidak beri, sebab dia tidak tahu saluran. Saya yakin ramai orang Johor yang telah berjaya hendak menyumbang balik kepada Negeri Johor, cuma kita perlu buka saluran untuk mereka menyumbang kembali", katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Sambutan Hari Guru Agama Sekolah Kerajaan Negeri Johor di Savana Hill Resort, Ulu Tiram, Johor Bahru.

Sementara itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Mohd Fared Mohd Khalid yakin idea itu bernas dan telah pun digunakan di beberapa buah sekolah serta mengakui perkara berkenaan belum dimulakan di semua sekolah agama.

Beliau turut menyambut baik cadangan tersebut dan akan melaksanakannya dengan kadar segera selepas mengadakan perbincangan berhubung perkara itu. 

ROSLINA BINTI DIN