Saifuzzaman terima anugerah Pena Emas MiSHA 2025

Anugerah Pena Emas merupakan pengiktirafan bertaraf tinggi yang diberikan kepada pegawai agensi media di Malaysia.

PUTRAJAYA, 24 Januari – Radio Televisyen Malaysia (RTM) mencatat satu lagi pencapaian berimpak tinggi pada awal tahun 2026 apabila Pengarah Bahagian Program Radio, Saifuzzaman Yusop, telah dianugerahkan Anugerah Pena Emas Siri 2025, sekali gus mengukuhkan kedudukan RTM dalam landskap kecemerlangan profesional penyiaran negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Saifuzzaman menerima Anugerah Pena Emas Siri 2025 pada majlis OSHPop 2025 di PICC.
  • Anugerah itu kali pertama dalam sejarah organisasi RTM.
  • Penghargaan mengiktiraf peranan RTM dalam mempromosi keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
  • Anugerah Pena Emas menghargai rakan media yang aktif meningkatkan kesedaran OSH melalui laporan.

Saifuzzaman memenangi anugerah itu pada majlis Anugerah Kecemerlangan Peringkat Asia Prinsip Pencegahan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHPop) 2025, malam tadi.

Penganugerahan ini merupakan yang pertama seumpamanya dalam sejarah organisasi.

Saifuzzaman berkata RTM sentiasa komited berperanan penting sebagai media rasmi kerajaan dengan menyebar luaskan kepentingan keselamatan dan kesihatan pekerjaan kepada pelbagai lapisan masyarakat.

“Alhamdulillah, saya terkejut tapi ini satu penghargaan yang sangat bermakna untuk Jabatan Penyiaran Malaysia. RTM sudah menggalas tanggungjawab sebagai media rasmi kerajaan yang mana kami sentiasa bersedia untuk memastikan maklumat keselamatan dan kesihatan pekerjaan sampai kepada masyarakat sekali gus dapat menangani isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“Sebagai pegawai media dan bekerja dalam dunia penyiaran, kita harus sentiasa bersedia untuk menimba ilmu, menyampai dan berkongsi semua maklumat yang sahih,” katanya ketika ditemui pada majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.

Anugerah yang bertujuan mengiktiraf organisasi cemerlang dalam pengurusan risiko serta pelaksanaan langkah-langkah pencegahan selaras Prinsip-Prinsip Pencegahan itu dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Anugerah berprestij tersebut mencerminkan sokongan kerajaan terhadap usaha membudayakan amalan kerja selamat bagi mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja secara mampan.

Majlis anjuran Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Industri Malaysia (MiSHA) itu, turut dimenangi sembilan lagi wakil media daripada pelbagai agensi.

Sebanyak 81 kategori anugerah telah dipertandingkan dengan melibatkan 60 buah syarikat penerima.

Manakala Anugerah Pena Emas pula merupakan penghargaan khas kepada rakan media yang aktif meningkatkan kesedaran berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan melalui laporan media cetak dan digital.