fb fb fb fb fb

SADA sedia 123 lori, hantar bekalan air kepada pengguna terjejas

SADA sedia 123 lori, hantar bekalan air kepada pengguna terjejas di Kedah

ALOR SETAR, 10 April- Sebanyak 123 buah lori disediakan oleh Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) bagi menghantar bekalan air kepada pengguna di Kedah yang terjejas ketika musim perayaan Aidilfitri kali ini.
  
SADA dalam kenyataan memaklumkan, ia melibatkan 30 lori tangki SADA, 84 lori tangki kontrak bersaiz kecil dan 9 lori tangki jumbo.
 
Daripada jumlah itu, 17 lori beroperasi di kawasan Kedah Utara 1, (28) lori di kawasan Kedah Utara 2, (42) lori di Kedah Tengah, (16) lori di Kedah Timur, (15) lori di Kedah Selatan dan 15 lori di Langkawi.
 
Selain itu, Pusat Khidmat Setempat (PKS) diwujudkan di lima lokasi yang telah dikenal pasti sebagai kawasan yang berisiko tinggi mengalami gangguan bekalan air.
 
Tiga PKS diwujudkan di Wilayah Kedah Tengah iaitu Masjid Seri Jerai, Gurun, Lot Kedai LKIM, Tanjung Dawai dan Masjid At-Tahir, Kampung Sungai Gelam.
 
Manakala, Masjid Alor Ibus dan Masjid Kampung Pulau Tengah dalam Kawasan Wilayah Kedah Utara 1.
 
Sebuah lori tangki air dan tangki statik akan ditempatkan di setiap lokasi PKS bagi menyelesaikan aduan penduduk setempat dengan kadar segera.
 
SADA menjangkakan akan berlaku peningkatan permintaan air melebihi 30 % oleh pengguna di seluruh Kedah sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri kali ini.
 
Ia didorong oleh kepulangan warga kota dan anak perantau ke kampung halaman.
 
SADA menyarankan pengguna melakukan persediaan awal dengan menyimpan bekalan air sekurang-kurangnya untuk kegunaan selama dua hari dan menggunakannya dengan berhemah bagi mengurangkan risiko terputus bekalan air.

ROSLINA BINTI DIN