fb fb fb fb fb

SADA aktifkan pam penggalak di empangan Malut, Langkawi

Foto: Ihsan Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA)

LANGKAWI, 6 Februari- Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) telah melaksanakan pelan tindakan jangka masa segera dengan mengaktifkan pam penggalak menggunakan dua unit genset berkapasiti 1000kva di Empangan Malut.

Ia bagi mengurangkan impak gangguan bekalan air dihadapi pengguna akibat penyusutan paras Sungai Melaka.

SADA dalam kenyataan memaklumkan, genset berkenaan berfungsi sebagai sumber bekalan elektrik sementara kepada pam penggalak yang akan membekalkan air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Padang Saga 3 dan LRA Kemoja.

Melalui tekanan tinggi daripada pam penggalak, sebanyak 42 juta liter air sehari (MLD) air mentah dapat dibekalkan ke loji-loji tersebut berbanding hanya 30 MLD apabila menggunakan sistem aliran secara graviti.

"Dalam hal ini, produksi pengeluaran air terawat akan turut meningkat dan bekalan air akan pulih secara berperingkat..." kata SADA dalam satu kenyataan.

Cuaca panas berterusan di Kedah menyebabkan bacaan paras air di dua sungai utama di Langkawi iaitu Sungai Melaka dan Sungai Kuah semakin menyusut.

Bagaimanapun berdasarkan data yang dikeluarkan laman sesawang rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada pukul 4.00 petang semalam, paras air di Sungai Melaka susut ke paras 2.50 meter berbanding paras normal iaitu 2.90 meter, manakala Sungai Kuah pula susut kepada 0.26 meter berbanding paras normal iaitu 1.50 meter.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI