fb fb fb fb fb

Sabah pantau kesan letusan Gunung Ruang, keselamatan rakyat diutamakan - Hajiji

Datuk Seri Hajiji Noor/ Foto Fail: BERNAMA

KOTA KINABALU, 18 April- Kerajaan Sabah akan memantau kesan letusan gunung berapi Gunung Ruang di Indonesia dan menegaskan bahawa keselamatan rakyat menjadi keutamaan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Dalam satu kenyataan di sini Hajiji berkata beliau telah diberi taklimat mengenai situasi letusan gunung berapi itu dan akan sentiasa memberi keutamaan dalam memantau keadaan dan keselamatan orang ramai.

Menurut kenyataan itu, lebih 20,000 penumpang dipercayai terjejas berikutan penggantungan semua penerbangan berjadual keluar masuk dari lapangan terbang di Kota Kinabalu, Labuan, Tawau dan Sandakan hari ini.

Beberapa penerbangan Malaysia Airlines dan Air Asia yang menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sabah, dan Sarawak dibatalkan hari ini berikutan letusan gunung berapi di Gunung Ruang, Indonesia.

Setakat ini, Malaysia Airlines mengumumkan 19 penerbangan telah dibatalkan, dengan 11 penerbangan membabitkan Sabah, manakala lapan lagi membabitkan Sarawak.

Air Asia pula berkata 16 daripada penerbangannya yang menghubungkan KLIA dengan destinasi di Sabah dibatalkan, lapan membabitkan Kota Kinabalu dan lapan lagi membabitkan Tawau.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI