KAJANG, 5 November- Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memberi penjelasan lanjut mengenai Rang Undang-Undang (RUU) baharu berkaitan hukuman tahanan di rumah di Dewan Rakyat, Khamis ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau akan memberikan perincian mengenai RUU itu semasa sesi penggulungan di peringkat dasar kementerian berkenaan pada hari itu.
"Saya akan jelaskan secara terperinci apakah rasionalnya, apakah prosesnya, apakah parameternya dan berapa ramai yang patut dipertimbangkan.
Semua itu saya jelaskan dan percaya pada akhir ia mampu menjernihkan beberapa pandangan yang saya lihat hanya tertumpu kepada seorang individu sahaja.
"Itu yang saya rasa perlu diberikan pencerahan dan platform terbaik, ketika KDN dapat peluang menggulung," kata Datuk Saifuddin kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas menghadiri Sesi Townhall Menteri Dalam Negeri bertajuk 'Mengurangkan Kebergantungan Kepada Pekerja Asing Melalui Pengambilan Prospek Yang Menjalani Pemulihan Dalam Komuniti', di sini.
Tambah beliau, walaupun beliau ada menyatakan kira-kira 20,000 pesalah kategori tertentu akan dipertimbangkan untuk program berkenaan, namun ia tidak bermakna mereka semua akan diberikan tahanan rumah serentak.
Jelasnya, ada beberapa kriteria yang perlu dipenuhi oleh pesalah tersebut.