KUALA LUMPUR, 21 Mei- Rang Undang-Undang Keupayaan Mental dijangka akan dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kula Segaran berkata kertas dasar mengenainya akan dibentangkan di Kabinet terlebih dahulu dalam masa terdekat.
Beliau berkata akta itu bakal membolehkan individu merancang dan membuat keputusan untuk masa hadapan, sebelum individu tersebut hilang keupayaan mental.
"Akta Keupayaan Mental yang dicadangkan ini antara lain bertujuan untuk membantu membolehkan seseorang untuk melaksanakan tindakan persediaan awal bagi dirinya dari aspek pengurusan harta, keputusan perundangan, hal ehwal perubatan dan lain-lain keputusan pengurusan dengan menggunapakai surat 'Lasting Power of Attorney' sekiranya seseorang itu menjadi tidak upaya dari segi mental, kecacatan mental", katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Forum Akta Keupayaan Mental di ibu negara.
Beliau menjelaskan Akta Keupayaan Mental merupakan instrumen yang akan membantu dalam aspek penjagaan dan pengurusan individu yang hilang keupayaan mental, sekali gus, memastikan negara bersedia menghadapi peralihan kepada negara menua.
Sesi libat urus penggubalan Akta Keupayaan Mental turut dilaksana bersama pihak berkepentingan bagi mempromosi kesedaran dan menilai keseluruhan aspek bagi menjamin kesejahteraan masyarakat.