RUU had tempoh Perdana Menteri perlu diluluskan segera di Parlimen

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Nurul Hidayah Banting, hari ini.

BANTING, 20 Februari – Rang Undang-Undang (RUU) mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau maksimum 10 tahun, perlu disegerakan dan diluluskan dalam sidang Parlimen akan datang.

RINGKASAN BERITA AI
  • RUU had tempoh Perdana Menteri dicadangkan mengehadkan jawatan kepada dua penggal atau maksimum 10 tahun.
  • Anwar gesa RUU disegerakan dan diluluskan dalam sidang Parlimen akan datang jika ada konsensus.
  • Anwar berkata RUU itu akan terpakai kepadanya terlebih dahulu sebagai bukti ketelusan.
  • Menteri berkata RUU akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin depan untuk perbahasan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu bagi memastikan proses peralihan kepimpinan negara berjalan lebih teratur dan sihat.

“Sepuluh tahun adalah tempoh yang memadai untuk seseorang pemimpin
berkhidmat dan melaksanakan dasar dengan berkesan. Selepas itu, perlu ada ruang untuk proses peralihan yang lebih segar demi kepentingan rakyat dan negara.

“Kita telah minta supaya ia disegerakan dan kalau ada konsensus serta majoriti daripada ahli Parlimen, kita boleh meluluskannya dalam sidang akan datang,” katanya

Datuk Seri Anwar berkata cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri akan terpakai bermula dengan diri beliau terlebih dahulu.

“Dia bermula daripada saya, maknanya jangan saya buat undang-undang itu untuk orang lain, undang-undang itu mesti terpakai untuk saya,” katanya kepada media selepas menunaikan Solat Jumaat bersama hampir seribu jemaah di Masjid Nurul Hidayah di Kampung Seri Cheeding di sini hari ini.

Ramai pihak berpandangan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal ini dilihat sebagai antara agenda reformasi institusi bagi memperkukuh amalan demokrasi dan tadbir urus negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan RUU pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal, akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Isnin depan.