KUALA LUMPUR, 27 Jun- Rang Undang-Undang (RUU) Kecekapan dan Konservasi Tenaga (EECA) 2023 yang diluluskan di Parlimen pada Selasa bakal memberi manfaat kepada negara.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusi kenyataan berkata, RUU itu menyokong inisiatif peralihan tenaga ke arah mencapai aspirasi pelepasan gas rumah kaca (GHG) bersih sifar menjelang 2050 oleh sektor berkaitan tenaga.
Sebagai salah satu inisiatif utama di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR), RUU EECA akan memberi penekanan dari aspek pengurusan permintaan tenaga khususnya penggunaan tenaga dengan cekap dan berkesan.
"Melalui penguatkuasaan RUU ini ke atas sektor industri, komersial dan domestik hingga tahun 2050, Malaysia mampu menjimatkan penggunaan tenaga yang dianggarkan berjumlah 2,017 juta Gigajoule atau bersamaan RM97.1 bilion.
"(Ia) secara langsung mengurangkan pelepasan 197,877 kilo tan karbon dioksida," katanya.
Menurut PETRA 1,000 peluang pekerjaan baharu akan diwujudkan sebagai pengurus tenaga berdaftar dan juruaudit tenaga berdaftar iaitu tambahan kepada pengurus tenaga dan juruaudit tenaga sedia ada.
"Selain itu, RUU ini juga akan menggalakkan pewujudan institusi latihan dan kemahiran serta syarikat perkhidmatan tenaga untuk melatih lebih ramai pengurus tenaga dan juruaudit tenaga yang diperlukan oleh sektor industri dan komersial," tambah kenyataan itu.
Bagaimanapun pindaan RUU yang diluluskan di Dewan Rakyat itu hanya terpakai di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan sahaja namun ia tidak terpakai di Sabah dan Sarawak.