fb fb fb fb fb

RUU berkaitan kewarganegaraan dibahas pada sidang Parlimen kali ini

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution / Foto Fail / Bernama

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 mengenai Kewarganegaraan akan dibahas dan diputuskan pada Sidang Penggal ke-3 Parlimen ke-15 yang bermula 14 Oktober depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pindaan tersebut bertujuan untuk menangani isu kejanggalan dalam permohonan kewarganegaraan bagi anak yang lahir di luar negara.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membincangkan beberapa peruntukan lain yang juga akan dipinda dalam Perlembagaan Persekutuan, memandangkan isu kewarganegaraan kini semakin kompleks dan dinamik.

“Saya percaya ahli-ahli Parlimen akan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan kita, jauh mengatasi daripada sentimen dan kepentingan diri sendiri. Kami yakin ini adalah keputusan yang betul.

"Tugas kerajaan MADANI di bawah KDN adalah untuk melengkapkan proses ini dan membentangkannya kepada Dewan Rakyat. Mudah-mudahan kelulusannya akan memberi manfaat besar kepada rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran video di Facebook.

Beliau juga memberi jaminan bahawa cadangan pindaan ini telah dikaji dengan teliti untuk memastikan bahawa perlembagaan dihormati dan keselamatan negara tidak dikompromi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN